• Kuching Dipilih Sebagai Bandar Pertama Pelaksanaan Skim Bas Berhenti-Henti

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kuching dipilih sebagai antara enam bandar pertama untuk pelaksanaan program Skim Bas Berhenti-henti (SBST) secara berperingkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Sri Nancy Shukri.

    Beliau berkata, lebih menarik lagi Kuching mendahului bandar lain seperti Johor Bharu, Kuantan, Bandar Melaka dan Kuala Terengganu.

    Menurutnya, perkhidmatan bas berhenti-henti merupakan tulang belakang kepada perkhidmatan pengangkutan awam di Kuching.

    "Walaupun sebelum ini terdapat permintaan terhadap perkhidmatan ini, namun ia sering kali tidak menjadi pilihan utama pengangkutan kerana stigma masyarakat yang beranggapan mutu perkhidmatannya tidak cekap, tidak boleh dianggar kekerapan, ketepatan waktu dan penggunaan kenderaan lama yang tidak selesa.

    "Oleh itu, kerajaan membelanjakan subsidi yang banyak terutama melalui Dana Bantuan Sementara Bas Berhenti-Henti bagi memastikan pengusaha bas berhenti-henti ini terus menawarkan perkhidmatan terutamanya di kawasan laluan yang tidak menguntungkan tetapi diperlukan oleh rakyat," katanya berucap pada Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Antara Jabatan Perdana Menteri dan Konsortium BBK Sdn Bhd serta Kerajaan Negeri Sarawak Bagi SBST Sarawak di sini, hari ini.

    Nancy menjelaskan, SBST adalah jawapan kepada penyediaan perkhidmatan bas berhenti-henti yang lebih efisien agar dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya kepada sosio ekonomi mereka.

    "Justeru, saya berharap dengan pelaksanaan program SSBT di Sarawak, rakyat akan mendapat akses kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang baik dan ini boleh mengurangkan kebergantungan dan desakan untuk memiliki kenderaan sendiri," ujarnya.-Sarawakiana



  • No Comment to " Kuching Dipilih Sebagai Bandar Pertama Pelaksanaan Skim Bas Berhenti-Henti "