• Kuala Lumpur Kekal 10 Destinasi Pelancongan Popular Dunia

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR dijangka mengekalkan kedudukannya di tangga kesepuluh dalam senarai destinasi pelancongan paling popular di dunia pada tahun ini, menurut senarai 100 destinasi terbaik di dunia yang dikeluarkan oleh Euromonitor International.

    Dengan kemasukan 12.3 juta pelancong ke Kuala Lumpur pada 2016, angka ini dijangka meningkat kepada 12.8 juta pada 2017, iaitu peningkatan pelancongan sebanyak 4.5% berbanding tahun lalu.

    Menurut laporan ini, bandar-bandar Asia mendominasi kedudukan global, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan bilangan pelancong China di rantau ini.

    Enam daripada sepuluh destinasi terbaik itu terdiri daripada bandar-bandar di Asia yang mana Hong Kong menduduki tangga pertama buat sembilan tahun berturut-turut dengan 26.6 pelawat pada tahun 2016 diikuti oleh Bangkok, Singapura, Macau, Shenzhen dan Kuala Lumpur.

    Penganalisis Kanan Pelancongan Euromonitor International, Wouter Geerts berkata Asia Pasifik menjadi rantau yang menonjol dalam memacu perubahan dalam pelancongan.

    "Kami menjangka rantau ini terus berkembang dalam dekad yang akan datang.

    "Singapura akan mengatasi London sebagai bandar ketiga paling kerap dikunjungi pelancong menjelang 2025, memberikan podium sepenuhnya kepada Asia," kata Geertz dalam satu kenyataan.

    Sebaliknya, prestasi bandar-bandar Eropah telah terjejas disebabkan oleh krisis Eurozone dan pendatang asing, implikasi Brexit dan serangan pengganas.

    Namun begitu, beberapa destinasi Eropah, khususnya Greece, Itali dan Sepanyol menduduki kedudukan yang lebih baik akibat pergolakan di Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

    Senarai destinasi perlancongan terbaik di dunia pada 2016:

    1. Hong Kong: 26.6 juta pelancong
    2. Bangkok: 21.2 juta pelancong
    3. London: 19.2 juta pelancong
    4. Singapura: 16.6 juta pelancong
    5. Macau: 15.4 juta pelancong
    6. Dubai: 14.9 juta pelancong
    7. Paris: 14.4 juta pelancong
    8. New York: 12.7 juta pelancong
    9. Shenzhen: 12.6 juta pelancong
    10. Kuala Lumpur: 12.3 juta pelancong

    Berpusat di London, Euromonitor International merupakan pembekal perisikan perniagaan global dan analisis pasaran strategik terkemuka dunia.

    Edisi World Travel Market (WTM) 2017 mengklasifikasikan 100 destinasi terkemuka di dunia itu berdasarkan dari segi ketibaan pelancong antarabangsa pada 2016 termasuk data ramalan untuk 2017 sehingga 2025. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Kuala Lumpur Kekal 10 Destinasi Pelancongan Popular Dunia "