• KPDNKK Putuskan Keperluan Umum Harga Minyak Mingguan

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan menyerahkan kepada pertimbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memutuskan keperluan meneruskan langkah mengumumkan perubahan harga minyak secara mingguan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata isu berkenaan pernah dibangkitkan dalam Kabinet berikutan formula yang digunakan dalam sistem apungan harga minyak setiap minggu sudah diketahui umum.

    "Kita akan tahu (perubahan harga mingguan) kerana formulanya sudah dikenal pasti dan diketahui orang awam, (maka) tidak perlu untuk kerajaan mengumumkannya.

    "Tetapi kita serahkan kepada KPDNKK untuk membuat keputusan sama ada hendak umum atau tidak," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Irmohizam ingin mengetahui perancangan kerajaan kemungkinan tidak akan meneruskan langkah mengumumkan kenaikan dan penurunan harga minyak secara mingguan bagi mengelak spekulasi pihak tertentu serta tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belitkan isu minyak untuk menimbulkan suasana panik dan benci dalam kalangan rakyat.

    Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sejak pelaksanaan sistem apungan harga minyak setiap minggu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 21 kali atau minggu dengan kenaikan keseluruhan sebanyak 83 sen, manakala 13 kali atau minggu untuk penurunan dengan keseluruhan sebanyak 82 sen.

    Katanya, keadaan itu menyaksikan kenaikan hanya satu sen secara keseluruhan sejak sistem apungan harga minyak setiap minggu dilaksanakan.

    "Semalam kita umumkan penurunan harga minyak, haram satu perkataan pun hendak memuji kerajaan, satu blok tidak cakap atau puji usaha kerajaan tetapi kalau kita naikkan harga minyak, maka bersedialah dengan segala tohmahan daripada pembangkang.

    "Sama ada perlu mengambil tindakan undang-undang atau tidak, tindakan paling baik untuk ajar mereka ialah mengundi Barisan Nasional supaya dapat memberi undi kepada kerajaan yang lebih telus, terus terang dan jujur," katanya.

    Terdahulu ketika menjawab soalan asal Irmohizam, Abdul Rahman menjelaskan harga jualan produk petroleum seperti petrol dan diesel di negara ini bersandarkan kepada trend minyak mentah di pasaran dunia dan kadar tukaran asing.

    Beliau berkata, sebarang perubahan harga minyak mentah dunia akan mempengaruhi harga produk petroleum ditetapkan kerajaan yang diselaraskan secara mingguan bermula Mac lalu.

    "Langkah ini berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar dalam senario semasa. Kerajaan masih memberi subsidi kepada sektor pengangkutan awam, nelayan dan gas masak atau LPG serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mengurangkan impak perubahan harga minyak dan kenaikan kos sara hidup kepada rakyat.

    "Sebagai sebuah negara dalam ekonomi terbuka dan negara pengeluar minyak, perubahan kepada ekonomi dunia termasuk kestabilan harga minyak mentah menimbulkan cabaran kepada Malaysia.

    "Namun dalam persekitaran harga minyak yang rendah, ekonomi negara masih mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 6.2 peratus pada suku ketiga tahun ini dan pertumbuhan ini didorong oleh langkah kerajaan mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak terlalu bergantung kepada mana-mana subsektor atau komoditi mahupun pasaran tertentu, terutama hasil minyak," katanya.

    Beliau berkata, kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan ekonomi dunia termasuk perlumbaan harga minyak dari semasa ke semasa supaya langkah penyesuaian akan dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan bersasar bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan untuk mencapai pertumbuhan mapan dan inklusif.

    Sementara itu menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (BEBAS-Bandar Tun Razak), Abdul Rahman berkata kerajaan tidak membuat kaedah `hedging' (lindung nilai) secara langsung.

    Ini kerana katanya, jika harga minyak meningkat RM2.50 seliter, kerajaan akan berdepan dengan dilema kerana apabila menambah BR1M bagi mengurangkan kos sara hidup, kadar inflasi tidak dapat dikawal.

    "Jika kita mengawal harga pada RM2.50 seliter, itu akan mengurangkan tekanan kepada inflasi tetapi pada masa sama akan kerajaan akan berdepan dengan agensi penarafan yang melihat kita cuba campur tangan dalam pengurusan harga minyak.

    "Selama ini kita berdisiplin dalam mengikut formula, bila ada intervensi, akan ada tekanan dari agensi penarafan. Kerajaan terpaksa berhati-hati dalam keadaan ini.

    "Kita kena lihat sama ada nak tengok inflasi atau penarafan tetapi yakin dan percayalah apabila sampai pada harga RM2.50 seliter, kerajaan akan bertindak untuk melindungi kepentingan rakyat secara keseluruhannya dan bila sampai ke tahap itu, kerajaan akan mengambil tindakan sesuai," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " KPDNKK Putuskan Keperluan Umum Harga Minyak Mingguan "