• Kor Ming lapor polis kes kata kesat

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+


    IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini meminta polis menyiasat kononnya beliau ada mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman.

    Laporan polis itu dibuat berikutan apa yang didakwanya sebagai kempen fitnah melalui blog New Malaysian Post yang didakwa memuat naik video palsu yang sudah disunting dan diubahsuai bagi menimbulkan ketegangan kaum.

    Video berkenaan didakwa menyunting beliau mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam ceramahnya di Kampung Simee di sini, Khamis lalu.

    Kor Ming yang ditemui pemberita selepas membuat laporan berkata, video berkenaan sengaja disunting dan diubahsuai untuk menuduh dirinya yang turut bertujuan menimbulkan ketegangan kaum.

    "Kami mahu tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ambil tindakan kerana ia akan menimbulkan keadaan yang bahaya khususnya pada pihak yang suka memainkan api dengan unsur perkauman," katanya.

    Semalam, tujuh badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis menggesa tindakan tegas diambil terhadap Kor Ming yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman pada satu ceramah di Kampung Simee, Khamis lalu.

    Antaranya Pemuda UMNO negeri, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Perak, Parlimen Belia Malaysia Perak dan Nadi Rakyat.

    Kor Ming turut mendakwa laporan polis yang dibuat NGO terbabit adalah laporan palsu dan semua yang membuat laporan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

    "Ucapan yang dirujuk dalam klip berkenaan adalah ketika ceramah yang dianjurkan di Kampung Simee, Khamis lalu manakala yang dipaparkan adalah ceramah yang berlangsung dua bulan lalu di Ipoh Garden East.

    "Yang jelas perkataan kesat itu tidak pernah disebut atau diperkatakan, kata-kata itu langsung tidak disebut," katanya.

    Beliau berkata, video yang dipaparkan itu adalah gabungan video yang disunting tetapi ia memaparkan seolah-olah apa yang didakwa itu memang berlaku.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kor Ming lapor polis kes kata kesat "