• Koperasi Bank Rakyat muncul koperasi ke-118 terbesar dunia

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR 16 Nov. - Koperasi Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) memperbaiki kedudukan dalam senarai ranking koperasi terbesar dunia selepas berada di tempat ke-118 berbanding 130 pada 2014.

    Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, berdasarkan laporan penerbitan World Co-operative Monitor edisi keenam, koperasi tersebut mencatatkan perolehan sebanyak RM18.68 bilion berdasarkan tahun kewangan 2015.

    "Koperasi Bank Rakyat berada di kedudukan 118 dan kita turut melihat ada koperasi lain Koperasi Permodalan Felda (KPF) turut berpotensi menempatkan diri dalam kelompok 300 koperasi terbesar dunia.

    "Sasaran kita menerusi Dasar Koperasi Negara adalah sebanyak tiga koperasi berada dalam kedudukan 300 teratas. Koperasi Bank Rakyat sudah membuktikannya apabila terus melonjakkan kedudukan mereka setiap tahun," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Perhimpunan Agung ICA (ICAKL 2017) dekat sini hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin.

    Gerakan koperasi global semakin kukuh apabila sebanyak 300 koperasi terbesar dunia merekodkan perolehan sebanyak RM9.03 bilion, berdasarkan tahun kewangan 2015.

    300 koperasi tersebut beroperasi dalam sektor berlainan seperti insuran, pertanian dan perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan perbankan dan kewangan, industri dan utiliti, kesihatan, pendidikan dan penjagaan sosial serta perkhidmatan lain. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Koperasi Bank Rakyat muncul koperasi ke-118 terbesar dunia "