• Khairul Hafiz Nanti Cray Di Birmingham

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Khairul Hafiz Jantan menjangkakan akan wujud saingan sengit andai kata jaguh Filipina, Eric Shauwn Cray turut menyertai Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Birmingham bermula 1 hingga 4 Mac depan.

    Meskipun kejohanan bertaraf dunia itu hanya menawarkan perlumbaan berjarak 60 meter (m), ia ibarat pertembungan semula kedua-dua jaguh Asia Tenggara itu selepas Khairul Hafiz berjaya merampas pingat emas 100m dari Cray pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

    Apa pun Raja Pecut Asia Tenggara itu tidak mahu berada dalam tekanan sebaliknya sudah merangka perancangan sendiri, antaranya tidak boleh terlewat ketika memulakan larian.

    "Tahun depan saya dijadual beraksi untuk Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan. Saya tidak pernah beraksi dalam acara ini dan hanya berhasrat ingin melakukan yang terbaik.

    "Memang saya belum ketahui siapa yang akan beraksi tapi jika Cray mengambil bahagian, memang akan ada saingan sengit. Bagi saya larian 60m ini tidak boleh bermula lambat malah kena lebih laju dari 100m," kata Khairul Hafiz.

    Baru-baru ini media Filipina melaporkan Cray meraih pingat perak dalam Kejohanan Seni Bela Diri dan Sukan Dalam Dewan Asia 2017 di Ashbagat, Turkmenestein dengan kepantasan 6.63s.

    Bagaimanapun kepantasan itu masih gagal menandingi catatan 6.55s milik Hassan Taftian dari Iran selaku juara.

    Ketika siri Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Portland tahun lalu, pelari Amerika Syarikat, Trayvon Bromell muncul juara dengan kepantasan 6.47s.

    Dalam perkembangan lain, Khairul Hafiz yang dijemput dalam Program Talk Show 'Aspire to Inspire' anjuran Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam ini berharap pengisiannya mampu memberi manfaat buat peserta.

    Jelasnya, dia akan berkongsi semangat cintakan negara serta kekuatan mental dalam setiap perkara dilakukan agar dapat terus berjaya pada masa akan datang. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Khairul Hafiz Nanti Cray Di Birmingham "