• Kesesakan Luar Biasa KLIA Perkara Biasa Musim Cuti Sekolah - KP Imigresen

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    SEPANG : Kesesakan luar biasa sekarang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah perkara biasa disebabkan musim cuti sekolah dan kumpulan jemaah umrah, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Mustafar Ali.

    Katanya, pihaknya telah membuka semua kaunter daftar masuk dan keluar di KLIA sejak Jumaat lalu bagi menangani kesesakan itu.

    Beliau berkata pihaknya sentiasa bersiapsiaga dengan situasi berkenaan bagi mengurus pertambahan penumpang dan penerbangan berkenaan ketika musim cuti tersebut.

    “Kita juga ada buat pemakluman awal mengenai kesesakan luar biasa di kaunter pasport ketika musim cuti persekolahan dan perayaan kerana ada penerbangan yang banyak terutamanya pada waktu puncak.

    "Kita dapat selesaikan kesesakan kurang daripada 40 minit. Kita buka 42 kaunter daftar masuk dan 54 kaunter daftar keluar selain kemudahan pintu automatik untuk penumpang," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kiosk semakan senarai hitam di KLIA hari ini.

    Laporan media hari ini menyebut kaunter imigresen di balai berlepas antarabangsa KLIA mengalami kesesakan sejak pukul 8 pagi dan situasi itu berlarutan sejak Jumaat lalu akibat masalah sistem sehingga menyebabkan kelewatan penerbangan.

    Mengulas lanjut Mustafar mengesahkan tiada sebarang masalah sistem berlaku, sebaliknya kesesakan berpunca daripada pertambahan penerbangan pada waktu puncak dan perkara itu juga telah dibincangkan dengan syarikat-syarikat pengendali penerbangan.

    Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Mohd. Arif Jaafar ketika dihubungi berkata, para penumpang dinasihatkan datang awal bagi mengelak sebarang kelewatan di KLIA dan KLIA2 pada musim cuti persekolahan.

    "Pihak MAHB sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk syarikat penerbangan dan juga Jabatan Imigresen bagi memastikan perjalanan para penumpang adalah lancar terutamanya ketika waktu puncak," katanya.

    Tinjauan Bernama mendapati ramai penumpang tahu kesesakan akan berlaku disebabkan musim cuti dan perayaan, serta datang awal bagi pemeriksaan kastam dan imigresen.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kesesakan Luar Biasa KLIA Perkara Biasa Musim Cuti Sekolah - KP Imigresen "