• Keselamatan Pusat Tahfiz Di Sarawak Terus Dipertingkat

    Published: Sunday, 19 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Semua pusat tahfiz yang berdaftar di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS) akan terus dinilai dan ditingkatkan faktor keselamatan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

    Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memeriksa semua pusat tahfiz berdaftar.

    Malah menurutnya, dari semasa ke semasa kerajaan negeri juga akan meningkatkan kemudahan bagi tujuan keselesaan dan keselamatan pusat pengajian Al-Quran di Sarawak.

    "Kita amat sedih dan berdukacita atas peristiwa kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, Kuala Lumpur pada bulan September lepas yang mengorbankan 23 pelajar termasuk dua guru.

    "Peristiwa seperti ini harus kita ambil pengajaran supaya tidak berlaku di tempat lain khususnya negeri kita," katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan 1,000 Hufaz Negeri Sarawak 1439H/2017M di Masjid Darul Hana semalam.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi.


    Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

    Berdasarkan rekod MIS, Abang Johari menjelaskan, sebanyak 28 pusat tahfiz berdaftar di Sarawak.

    "Sebanyak 20 daripadanya (pusat tahfiz) berada di Kuching, dua buah (Kota Samarahan) manakala masing-masing sebuah di Betong dan Sibu.

    "Jumlah pelajar daripada kesemua 28 pusat tahfiz berjumlah 1,153 pelajar dan 138 guru pembimbing," ujarnya.

    Perhimpunan 1,000 huffaz itu julung kali diadakan di Sarawak.-Sarawakiana
  • No Comment to " Keselamatan Pusat Tahfiz Di Sarawak Terus Dipertingkat "