• Kes Bunuh Pusat Tahfiz: Sebutan Semula Kes 3 Jan

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 3 Januari depan untuk sebutan semula kes dua remaja lelaki berusia 16 tahun atas pertuduhan membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, September lepas.

    Kedua-dua remaja itu dituduh bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini antara jam 4.15 pagi hingga 6.45 pagi, 14 Sept lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

    Prosiding di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan tertuduh di bawah umur. Media termasuk anggota keluarga mangsa turut diperintahkan supaya tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding itu.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail serta Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Joanne Chua Tsu Fae.

    Di luar mahkamah Nurakmal Farhan memberitahu pemberita bahawa pihak pendakwaan masih belum menerima laporan penuh termasuk laporan bedah siasat mangsa.

    Sementara itu, Norazizan Abdul Razak, 46, bapa kepada Muhammad Taufik Hidayat Norazizan,16, yang maut dalam kebakaran itu, berkata kehilangan anak kedua daripada tiga adik beradik itu masih dirasai oleh seluruh ahli keluarganya.

    “Memang rasa lain bila arwah sudah tiada tapi saya akan sentiasa mengikuti perkembangan ini ,” katanya dalam keadaan tenang.

    Datin Hartini Abdul Ghani,48, ibu kepada Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan 12, yang terkorban dalam kejadian tragis itu pula berkata beliau perlu bangkit daripada kesedihan akibat kehilangan anak tersayang.

    “Apa yang berlaku ada hikmah untuk saya bangkit daripada kesedihan. Saya perlu buat transformasi dalam masyarakat…sekarang ini bukan masa untuk salahkan sesiapa,” katanya. -BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kes Bunuh Pusat Tahfiz: Sebutan Semula Kes 3 Jan "