• Kerjasama Tangani Daesh Dikagumi Dunia

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerjasama trilateral Malaysia-Indonesia-Filipina menangani ancaman militan Daesh di rantau ini, dikagumi menteri pertahanan yang menghadiri sidang kemuncak Gabungan Tentera Islam Menangani Keganasan di Arab Saudi, minggu lalu.

    Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sidang kemuncak itu turut mengagumi kerjasama dan kemampuan negara ASEAN menangani ancaman Daesh, atas inisiatif Malaysia dua tahun lalu.

    "Mereka mengagumi bilateral antara Malaysia, Indonesia dan Filipina, bagaimana negara berbeza ini dapat bekerjasama dalam aspek keselamatan menangani ancaman Daesh.

    "Semua 40 menteri pertahanan yang hadir, kagum bagaimana 10 negara ASEAN bersatu bertekad menghadapi ancaman Daesh walaupun mempunyai kepelbagaian bangsa, agama dan budaya," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemubual media mengupas isu berkaitan UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017, minggu depan, di Kementerian Pertahanan, hari ini.

    Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, langkah Malaysia menjalin kerjasama ketenteraan dan maklumat risikan dengan negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China bukan bertujuan menggadaikan maruah serta kedudukan negara.

    Sebaliknya, kata beliau ia membantu pasukan keselamatan dan agensi risikan mendapatkan maklumat berkaitan pergerakan serta ancaman pengganas Daesh yang dilaporkan sedang bergerak keluar dari Syria dan Iraq untuk pulang ke negara masing-masing.

    "Sebab itu, saya berharap hubungan kita dengan negara besar membantu mendapat maklumat terkini dan memastikan kedaulatan negara dapat dipertahankan. Kita bukan gadai kedudukan dan maruah negara," katanya.

    Katanya, beliau turut menerangkan kepada menteri pertahanan negara Islam lain, bahawa Malaysia dan rantau ini tidak terkecuali daripada ancaman Daesh seperti dapat disaksikan di Marawi, Filipina.

    "Dalam penerangan itu, semua memahami kita mesti bersama berdepan musuh, Daesh. Kita berharap mereka berkongsi pengalaman dengan kita supaya apa yang terjadi di sana, tidak berlaku di sini," katanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Kerjasama Tangani Daesh Dikagumi Dunia "