• Kerajaan Sedia Rombak Akta Perikanan 1985

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    GEORGE TOWN – Kerajaan bersedia merombak semula Akta Perikanan 1985 sekiranya terdapat kelemahan berhubung peraturan dan penguatkuasaan sehingga menyebabkan sumber maritim negara dirompak pihak luar, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

    Beliau berkata mengikut undang-undang perikanan negara, lesen menangkap ikan boleh dikeluarkan kepada pihak luar sekiranya ada perjanjian antara kerajaan dan kerajaan.

    “Namun, sehingga kini tidak ada satu lesen pun dikeluarkan kerana tidak ada perjanjian kerajaan dengan kerajaan berhubung perkara itu. Jadi, tidak timbul isu mengatakan bahawa kita bagi lesen pada orang luar untuk datang menangkap ikan di sini (di perairan negara),” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat dan mengadakan perjumpaan dengan pesawah yang terjejas akibat banjir di Institut Pertanian Bumbong Lima, di sini hari ini.

    Akhbar hari ini melaporkan bahawa Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula Akta Perikanan 1985, terutama Seksyen 19 berkaitan kelulusan permit kepada nelayan yang dilihat sebagai punca sumber maritim negara mudah dirompak nelayan asing.

    Ahmad Shabery berkata kementerian akan memberi kerjasama kepada SPRM sekiranya ada individu yang terlibat rasuah dengan membenarkan hasil negara diambil pihak lain. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Sedia Rombak Akta Perikanan 1985 "