• Kerajaan pusat tak dapat beri 30% kepada Sarawak

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+
    PETALING JAYA: Kerajaan pusat tidak dapat memulangkan 30% kutipan cukai pelancongan kepada Sarawak kerana kadar itu melebihi sumbangan cukai negeri berkenaan, kata Datuk Seri Nazri Aziz.

    Menteri pelancongan dan kebudayaan itu dipetik Sin Chew Daily berjanji akan membahagikan kutipan cukai baharu itu secara sama rata.

    Katanya, RM1 daripada RM10 kutipan cukai itu akan dibahagikan kepada semua negeri, termasuk Sarawak untuk galakan pembangunan dan promosi pelancongan.

    “Baki RM9 akan dibahagikan mengikut keperluan bagi menjalankan promosi dan kegiatan khusus,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

    Beliau menjawab soalan Alice Lau (DAP-Lanang) dan Oscar Ling (DAP-Sibu) mengenai pembahagian 30% cukai pelancongan kepada kerajaan Sarawak.

    Lau ingin tahu berapa banyak yang sudah dipulangkan kepada kerajaan negeri itu daripada RM17,480 kutipan cukai pelancongan.

    Pada 11 Ogos lalu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menuntut pembahagian adil tidak kurang 30% daripada kutipan cukai berkenaan kepada negeri itu.

    Beliau berkata, jumlah yang dikutip itu mesti dikongsi secara saksama oleh 3 wilayah, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    Cukai pelancongan mula dilaksanakan 1 September lalu dengan pelancong asing dikenakan caj RM10 setiap bilik bagi 1 malam.

    Akhbar itu melaporkan sebanyak RM610,280 dikutip 4,671 hotel dan rumah penginapan yang berdaftar di seluruh negara dalam tempoh sebulan sejak cukai baharu itu dikuatkuasakan.

    Pulau Pinang menjadi penyumbang terbesar dengan kutipan sebanyak RM241,460 diikuti Kuala Lumpur RM185,750.- FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan pusat tak dapat beri 30% kepada Sarawak "