• Kerajaan Pusat sedia pertimbang peruntukan lebih besar kepada P. Pinang selesai isu banjir

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    TASEK GELUGOR 7 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Pusat sedia mempertimbang peruntukan lebih besar kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang bagi menangani masalah banjir di negeri ini.

    Menurut Perdana Menteri, beliau dimaklumkan sebanyak 13 projek tebatan banjir berskala besar dan kecil dirancang dilaksanakan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah itu membabitkan peruntukan kira-kira RM1 bilion.

    Setakat ini, ujar beliau, Kerajaan Pusat sudah meluluskan sebanyak RM150 juta dan sedia menambah peruntukan berdasarkan kemampuan kewangan negara.

    "Saya juga sudah mengarahkan mesyuarat antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri diadakan segera untuk menentukan projek tebatan banjir yang boleh dilaksanakan supaya masalah banjir ini dapat diselesaikan dan tidak berulang pada masa depan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas meninjau pusat pemindahan banjir di Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan di sini yang menempatkan kira-kira 200 mangsa hari ini.

    Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Pusat sedia pertimbang peruntukan lebih besar kepada P. Pinang selesai isu banjir "