• Kerajaan Negeri Tutup Sekolah Kurang Murid

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+

    MIRI: Sekolah-sekolah yang kecil dan kurang murid akan ditutup bagi memastikan peruntukan akan digunakan dengan sebaiknya dengan menggunakan konsep penggabungan untuk mewujudkan sebuah institusi pendidikan menjadi lebih baik dan kukuh.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, kerajaan negeri akan menutup sekolah-sekolah berkenaan terutamanya di kawasan luar bandar.

    Menurutnya, bermula tahun hadapan kementerian akan membina sebuah sekolah berpusat di setiap konstituensi luar bandar.

    “Kita sudah memaklumkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa kita tidak mahu membina semula atau membaiki sekolah-sekolah kecil di kawasan tertentu terutama di luar bandar sebaliknya berhasrat menutup sekolah itu termasuk yang mempunyai bilangan murid amat rendah.

    “Susulan itu kita bertemu dengan semua YB di kawasan masing-masing, pemimpin masyarakat serta ibu bapa dan hasilnya mendapati majoriti bersetuju menutup sekolah-sekolah kecil dan seterusnya bergabung dengan sekolah lain menjadi sebuah sekolah lebih besar dan baik,” katanya.

    Manyin berkata, langkah seterusnya yang akan diambil ialah merancang melatih pelatih di kalangan guru yang boleh dijadikan pelatih ataupun jurulatih untuk matapelajaran utama iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

    Tambah beliau guru-guru tersebut akan mengikuti kursus yang dijalankan oleh kementerian dan selepas itu mereka kembali ke sekolah masing-masing di daerah mereka menjadi pelatih kepada guru-guru lain kerana kita tidak dapat melatih setiap orang.-Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Negeri Tutup Sekolah Kurang Murid "