• Kerajaan Jalankan Pemeriksaan Mental Di 2,343 Sekolah

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan kesihatan mental untuk pelajar Tingkatan Empat di 2,343 sekolah di seluruh negara.

    Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pemeriksaan itu untuk mengesan status kesihatan mental dan mengenal pasti tahap tekanan serta kemurungan dialami pelajar.

    Katanya, kajian dijalankan pada 2015 mendapati seramai 29.2 peratus rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah gangguan mental.

    "Sekiranya perlu, mereka akan diberikan kaunseling serta rawatan lanjut. Ini adalah program minda sihat yang dijalankan kementerian bersama Kementerian Pendidikan.

    "Kementerian turut menjalankan pelbagai program kemahiran menangani tekanan seperti latihan kemahiran daya tindak dan aktiviti pemerkasaan komuniti untuk mencegah penyakit mental," katanya ketika pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab pertanyaan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin mengetahui apakah rancangan Kementerian Kesihatan dalam mengatasi masalah kesihatan mental yang menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di negara kita.

    Subramaniam berkata, kerajaan turut melaksanakan program kesihatan mental berintegrasi di semua klinik kesihatan seluruh negara untuk mengesan masalah mental dalam masyarakat.

    Katanya, ia termasuk program saringan untuk mengesan peringkat awal tekanan, keresahan dan kemurungan bagi individu berisiko tinggi alami masalah mental. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Jalankan Pemeriksaan Mental Di 2,343 Sekolah "