• Kerajaan Cadang Bina Perumahan Di Long Lama

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bercadang untuk membangunkan projek perumahan di Long Lama Baram memandangkan kawasan berkenaan mempunyai populasi penduduk yang tinggi..

    Memetik laporan Utusan Borneo, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee berkata, permintaan tinggi daripada penduduk merupakan salah satu faktor projek perumahan perlu dibangunkan di kawasan berkenaan.

    “Satu kerugian jika rakyat mampu membeli rumah namun kita tidak dapat menyediakannya. Kerajaan Negeri sudah banyak melaksanakan projek perumahan namun setakat ini belum ada di Long Lama. Permintaan ada justeru ia perlu dibangun,” katanya.

    Katanya lagi, beliau akan berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk mengenal pasti jenis projek yang sesuai.

    Sementara itu, Dennis berharap projek perumahan tersebut akan merancakkan lagi kawasan berkenaan selain memberi peluang kepada penduduk menikmati kemudahan perumahan yang terancang.

    “Saya berharap projek perumahan dapat dilaksana merancak pembangunan di sini khusus Long Lama yang merupakan nadi kepada Telang Usan. Sebagai wakil rakyat di sini, saya mahu Long Lama terus pesat membangun,” katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Kerajaan Cadang Bina Perumahan Di Long Lama "