• Keputusan UPSR 2017 Lebih Baik Berbanding 2016 - KP Pelajaran

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Prestasi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding 2016, menurut Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.

    Katanya, peratusan calon yang mencapai tahap penguasaan minimum tahun ini meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada 293,514 (68.1 peratus) calon berbanding 293,184 (66.5 peratus) calon pada 2016.

    Jelasnya, pencapaian UPSR tahun ini memberi fokus kepada tahap penguasaan minimum, iaitu calon mencapai sekurang-kurangnya gred D dalam semua mata pelajaran.

    "Peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum, iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu gred E, turun sebanyak 0.9 peratus kepada 30.2 peratus pada tahun 2017 berbanding 31.1 peratus pada tahun 2016.

    "Manakala peratusan calon yang belum mencapai tahap penguasaan minimum turun sebanyak 0.7 peratus kepada 1.5 peratus pada tahun 2017 berbanding 2.2 peratus pada tahun 2016," katanya pada sidang media Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah di sini hari ini.

    Seramai 443,794 orang pelajar Tahun Enam mengambil UPSR tahun ini.

    Daripada jumlah itu, 433,536 (97.7 peratus) adalah sekolah calon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) manakala 10.258 (2.3 peratus) adalah calon sekolah swasta.

    UPSR telah dijalankan pada 11 hingga 14, dan 18 September, 2017 di 8,085 pusat peperiksaan.

    Dalam pada itu, jelas Amin, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah itu bukan dibuat berdasarkan keputusan UPSR semata-mata, sebaliknya turut membabitkan tiga komponen lain dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

    "Ia mengambil kira pentaksiran bilik darjah (PBD), pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) serta pentaksiran psikometrik (PPsi).

    "Ini bermakna, pelaporan itu tidak hanya mengambil kira banyak mana calon mendapat A dalam semua subjek, tetapi tiga komponen berkenaan turut diambil kira untuk melihat pencapaian murid secara keseluruhan," katanya.

    Calon UPSR boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi.

    Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan UPSR menerusi MySMS 15888.

    Perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula jam 10 pagi 23 November sehingga 6 petang 29 November. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Keputusan UPSR 2017 Lebih Baik Berbanding 2016 - KP Pelajaran "