• Kepelbagaian Biodiversiti Tingkat Pelancongan Sarawak

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    Kekayaan ekosistem dan kepelbagaian biodiversiti yang dimiliki Sarawak menjadi destinasi premium bagi pelancong disamping meningkatkan industri pelancongan negeri ini, kata Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datu Ik Pahon Joyik.

    Memetik laporan The Borneo Post, beliau berkata, hutan hujan tropika di Sarawak telah diiktiraf sebagai yang tertua di dunia kerana masih mempunyai banyak 'permata' yang belum diterokai.

    "Sarawak diberkati dan kaya dengan ekosistem dan kepelbagaian biodiversiti. Kerajaan negeri berusaha untuk memulihara dan mengamalkan pengurusan alam sekitar yang lestari memandangkan Sarawak berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan premium bagi pelancong melalui penggabungan dan pengukuhan produk dan perkhidmatan yang sedia ada," katanya.

    Menurutnya, Sarawak mempunyai pelbagai Taman Negara yang harus dilawati sebagai contoh Santuari Hidupan Liar Semenggok yang terkenal dengan orangutannya, Taman Negara Gunung Gading yang terkenal dengan Raffalesia dan Gua Niah yang terkenal sebagai tapak arkeologi utama dimana rangka manusia berusia 40,000 tahun telah ditemui.

    Selain itu, menurutnya lagi, Sarawak adalah rumah kepada 27 komuniti yang berlainan dimana masing-masing mengamalkan tradisi, festival, makanan dan gaya hidup mereka sendiri.

    "Bagi pencinta makanan, Sarawak adalah syurga makanan. Pelancong juga boleh menikmati perkhidmatan hospiliti dengan menginap di rumah panjang yang terdapat di sini," ujarnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Kepelbagaian Biodiversiti Tingkat Pelancongan Sarawak "