• Kenyataan Kamalanathan Disalah Tafsir: Mahdzir

    Published: Saturday, 11 November 2017
    A- A+

    PADANG TERAP: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan kelemahan guru sebagai punca kegagalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

    Beliau berkata, kenyataan menyalahkan guru yang didakwa dikeluarkan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan itu sebenarnya disalah tafsir segelintir media.

    "Tidak timbul isu kegagalan dari guru...KBAT baru berusia tiga tahun di mana guru dilatih dari masa ke semasa dalam transformasi pendidikan.

    "Berdasarkan kenyataan menyeluruh Kamalanathan di Dewan Rakyat itu, beliau bukan menyebut kegagalan dari guru," katanya, hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas mengulas laporan sebuah portal berita baru-baru ini yang menyebut kelemahan guru sebagai punca 60 peratus sekolah hadapi masalah KBAT.

    Susulan daripada laporan berita yang didakwa disalah tafsir itu, beberapa pihak mula menyerang Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengatakan kementerian sebagai punca kegagalan KBAT.

    Mahdzir berkata, semua pihak perlu memahami KBAT sepenuhnya dan tidak harus menyalahkan mana-mana pihak.

    "Masyarakat, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya perlu memahami KBAT ini.

    "Menyalahkan guru itu tidak betul.. kemudian kenyataan Timbalan Menteri pula disalah tafsir. Jadi hari ini saya ingin membetulkannya semula," katanya.

    Mahdzir sebelum itu hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Ahli Parlimen Padang Terap.

    Dalam perlawanan berkenaan, pasukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka mengalahkan PDM Lubok Merbau dengan keputusan 2-1. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kenyataan Kamalanathan Disalah Tafsir: Mahdzir "