• Kenyataan Dr Mahathir Gugat Perpaduan

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang menyebut bangsa Bugis itu sebagai lanun sudah memberi pelbagai persepsi negatif termasuk menggugat perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia dan Indonesia.

    Presiden Persatuan Melayu Bugis Selangor (PMBS), Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj, berkata ia secara tidak langsung merenggangkan hubungan diplomatik di antara dua negara terbabit yang sememangnya mempunyai pelbagai persamaan daripada segi sosiopolitik, warisan sejarah dan seni budaya.

    Sehubungan itu, katanya, PMBS sekali lagi mengambil pendirian tegas bagi menggesa Dr Mahathir memohon maaf di atas kenyataannya bagi memastikan masalah berbangkit dapat dijernihkan.

    "Sentimen kebencian, hasutan dan penghinaan seperti itu perlu dibendung dan ditangani sebaik mungkin.

    "Kita wajar hormati dan hargai keberadaan bangsa dan suku kaum sedia ada di Malaysia kerana sudah tentu ia mempunyai sejarahnya tersendiri, selain mempunyai jasa dan sumbangan kepada perjuangan pembangunan, kemajuan, agama, bangsa dan tanah air," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada masa sama, Hishammuddin Zaizi berkata, beliau selaku Presiden PMBS dan ahli jawatankuasanya yang mewakili suara masyarakat Bugis di Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dengan tindakan Dr Mahathir.

    "Sudah banyak kali Dr Mahathir mengguris hati dan menyentuh sensitiviti masyarakat Bugis dalam beberapa siri himpunan "Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' yang diadakan sebelum ini.

    "Justeru, sudah tentu masyarakat Bugis, ahli PMBS serta kerabat Diraja Selangor akan merasa kecewa dan marah, malah tidak kurang ada yang mengadakan perhimpunan sebagai tanda bantahan dan membuat laporan polis," katanya.

    Semalam, Sultan Sharafuddin dilaporkan memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir yang dilihat cuba menghasut rakyat membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kenyataan Dr Mahathir Gugat Perpaduan "