• Kemerdekaan Negara Bukan Milik Eksklusif Ahli Politik

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Golongan artis turut bertanggungjawab mengekalkan kemerdekaan negara, dan ia bukan milik eksklusif ahli politik sahaja, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

    Meskipun ahli politik merupakan golongan barisan hadapan dalam pembangunan negara, beliau berkata sejarah kemerdekaan negara telah membuktikan bahawa kebangkitan sesebuah bangsa turut disokong oleh golongan biasa dan kelompok masyarakat lain.

    "Kerjasama antara ahli politik dan golongan artis tanah air penting dalam usaha melahirkan sebuah negara bangsa yang maju dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

    "Suara ahli politik mungkin tidak begitu didengari oleh orang ramai di luar sana kerana kami juga ada keterbatasan, justeru golongan artis yang mempunyai pengikutnya tersendiri lebih mudah didekati terutamanya golongan muda bagi menyampaikan aspirasi negara," katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Kelab UMNO Artis Tanah Air (KUAT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

    Annuar berkata pelbagai mesej berguna dapat disampaikan kepada masyarakat menerusi karya seni artis iaitu nyanyian, puisi dan lakonan dalam mengekalkan kemerdekaan negara yang dicapai 60 tahun lalu.

    Beliau berkata UMNO turut mengundang para artis dalam beberapa program yang dijalankan bagi berkongsi idea dan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa serta langkah meningkatkan pembangunan negara dalam pelbagai aspek.

    Turut hadir Presiden KUAT Datuk A Rahman Hassan dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi.

    Kira-kira 300 anggota KUAT yang terdiri daripada penyanyi, pelakon, pemuzik dan karyawan seni tanah air hadir memeriahkan majlis yang julung kali diadakan bertujuan menghimpunkan serta merapatkan hubungan silaturahim sesama mereka serta menerangkan aspirasi perjuangan UMNO dalam meningkatkan pembangunan negara. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kemerdekaan Negara Bukan Milik Eksklusif Ahli Politik "