• Kementerian Kerja Raya kesan sindiket penipuan tawaran kontrak

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengesan wujud tindakan tidak bertanggungjawab daripada individu tertentu yang menggunakan nama kementerian itu sebagai subjek untuk melakukan jenayah penipuan berkaitan tawaran kontrak kerajaan.

    Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, modus operandi yang digunakan mereka adalah suspek akan menghubungi mangsa dengan menggunakan telefon melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan kontrak, sama ada secara kaedah rundingan terus atau tender daripada Kementerian Kerja Raya.

    "Suspek dalam pesanan ringkasnya akan menawarkan projek dengan mengenakan beberapa syarat bagi tujuan 'membantu' mangsa untuk memproses atau bagi membolehkan sesuatu projek palsu itu diperoleh daripada Kementerian Kerja Raya ataupun Jabatan Kerja Raya (JKR).

    "Penggunaan modus operandi ini adalah taktik yang sering dikesan dan kerap digunakan oleh suspek," katanya.

    Kenyataan itu menyebut, sejak kebelakangan ini, Kementerian Kerja Raya mendapat maklumat daripada orang awam, kontraktor dan pemain industri binaan dalam dan luar negara mengenai beberapa kes penipuan seumpama itu.

    "Orang ramai disarankan supaya berhati-hati dan berwaspada sekiranya menerima tawaran kontrak yang mencurigakan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

    "Elakkan daripada melakukan sebarang transaksi kewangan bagi kes berkenaan jika belum mendapat kepastian daripada Kementerian Kerja Raya," katanya.

    Mereka yang dihubungi pihak tidak bertanggungjawab ini supaya merujuk segera kepada Unit Komunikasi Korporat (UKK) di talian 03-27714613 /4623 atau emel: pro@kkr.gov.my.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kementerian Kerja Raya kesan sindiket penipuan tawaran kontrak "