• Kementerian Fokus Tangani Sekolah Usang Di Sarawak - Manyin

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+
    KUCHING, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi yang ditubuhkan pada Mei tahun ini, akan menumpukan kepada masalah 415 sekolah usang di seluruh negeri, termasuk 205 sekolah yang akan dibina semula atau dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

    Menterinya Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata baki 210 sekolah lagi akan dibina semula atau dinaik taraf di bawah pembiayaan khas sebanyak RM1 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini.

    "Kami berharap dapat melaksanakan pembinaan semula sekolah di bawah pembiayaan RM1 bilion itu pada 2018 dan 2019," katanya ketika menggulung perbahasan di peringkat kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

    Manyin berkata sejak tiga tahun lepas, Sarawak berada dalam kedudukan rendah dalam peperiksaan awam, iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berada di tempat ke-14 pada 2014 serta 15 (2015 dan 2016) manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kedudukan ke-15 pada 2014, 2015 dan 2016.

    "Oleh sebab itu, kementerian bersama Jabatan Pendidikan Sarawak telah mengenal pasti 375 sekolah enrolmen murid rendah di seluruh negeri yang boleh digabungkan menjadi 126 sekolah berpusat," katanya.

    Bagaimanapun, katanya menggabungkan sekolah kepada sekolah berpusat bergantung kepada hasil penglibatan dengan masyarakat terlibat.

    "Justeru, saya merayu kepada semua Anggota DUN supaya menyokong usaha kami dan menjelaskan faedah penggabungan sekolah yang bilangan murid rendah di kawasan mereka, demi masa depan anak-anak ini," katanya.

    Mengenai penyelidikan dan pembangunan, Manyin berkata satu daripada objektif utama penubuhan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak adalah untuk menyelaraskan dan memudahkan usaha pelbagai agensi dan institusi yang menjalankan penyelidikan di Sarawak.

    Oleh itu, beliau berkata tiada isu duplikasi dan lebihan, malah, Majlis itu akan menghapuskan pertindihan dan memperkemas usaha kementerian untuk mengoptimumkan sumbernya.

    Katanya Majlis itu juga akan membantu mengkomersialkan hasil R&D yang dijalankan di negeri ini. -- BERNAMA
  • No Comment to " Kementerian Fokus Tangani Sekolah Usang Di Sarawak - Manyin "