• Kementerian Akan Usul Kerajaan Beri Cuti Paterniti 30 Hari

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengusulkan kepada kerajaan agar golongan bapa diberi cuti paterniti 30 hari berbanding tujuh hari sekarang.

    Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata langkah itu bagi membolehkan golongan bapa memainkan peranan yang lebih besar termasuk membantu tugas isteri di rumah selain merapatkan ikatan kekeluargaan.

    “Kebanyakan bapa sekarang terutama bapa muda mahu bersama-sama menjaga anak mereka dari awal bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. Hubungan yang kuat dapat membuatkan anak-anak merasa selamat kerana mereka mempunyai tempat untuk mengadu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Foto ‘Swedish Dads and Malaysian Dads’ di sini hari ini.

    Azizah juga berkata ibu bapa di negara ini boleh belajar daripada sistem kekeluargaan di Sweden yang mengetengahkan peranan bapa dalam sesebuah keluarga, khususnya pada aspek mendidik anak.

    “Menerusi pameran ini kita dapat memberi kesedaran serta memperkasakan kaum wanita iaitu tanggungajawab menjaga anak tidak terletak pada kaum ibu sahaja dan bapa juga berperanan penting dalam mendidik anak mereka,” katanya.

    Pameran itu yang dianjurkan oleh IKEA Malaysia, Kedutaan Sweden di Malaysia serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara turut menampilkan satu siri foto oleh jurugambar Sweden Johan Bavman yang merakam detik-detik harian 11 bapa bersama anak-anak kecil mereka di rumah.

    Pemilihan foto bapa-bapa Malaysia pula dibuat menerusi pertandingan ‘Malaysian Dads Photo’ yang dilancarkan bulan lepas oleh IKEA dan Kedutaan Sweden bersempena penguatkuasaan polisi cuti paterniti bergaji selama sebulan oleh IKEA.

    Sementara itu, Pengarah Kelestarian dan Komunikasi IKEA Asia Tenggara Lars Svensson berkata cuti paterniti bergaji itu terpakai kepada semua cawangannya di seluruh Asia Tenggara bagi membolehkan golongan bapa turut menjaga bayi yang baharu dilahirkan.

    Pameran itu berlangsung di Balai Seni Lukis Negara di sini sehingga 31 Mac tahun depan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kementerian Akan Usul Kerajaan Beri Cuti Paterniti 30 Hari "