• Kemarau Gol, Lukaku Perlu But Baharu

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+

    WATFORD: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho yakin kemarau gol dialami Romelu Lukaku akan berakhir sebaik dia mendapat kontrak penajaan but yang baharu.

    Lukaku membantu Anthony Martial menjaringkan gol ketika United menewaskan Watford 4-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi tetapi dia mensia-siakan tiga peluang meledak gol.

    Situasi itu menyaksikan dia kini hanya menjaringkan satu gol dalam 11 penampilannya.

    Penyerang Belgium itu bermain dengan menggunakan but berwarna hitam kosong kerana kontraknya bersama penaja sebelum ini sudah tamat.

    Dalam nada berseloroh, Mourinho, berkata pemain itu akan kembali menjaringkan gol sebaik dia mendapat kontrak tajaan yang baharu.

    “Saya fikir dia memerlukan kontrak penajaan but yang besar kerana buat masa sekarang dia tidak terikat dengan mana-mana kontrak.

    “Sebab itu dia bermain menggunakan but berwarna hitam kosong. Dia perlukan jenama yang boleh berikan dia but dan membayarnya, jadi akan kembali menjaringkan gol.

    “Namun, ini hanya gurauan...dia melaksanakan tugasnya dengan baik bersama pasukan. Saya tidak akan menyalahkan pemain seperti dia hanya disebabkan dia terlepas peluang.

    “Dengan saya, dia sedar yang dia tidak diberikan tekanan. Dia pemain yang menakjubkan, profesional dan mempunyai cita-cita tinggi,” kata Mourinho.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Kemarau Gol, Lukaku Perlu But Baharu "