• KBAT: 113 Sekolah Pada Tahap Baik Dan Cemerlang

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Sebanyak 113 sekolah berada pada tahap baik dan cemerlang berdasarkan pemeriksaan penarafan pembelajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata jumlah itu merangkumi 40.07 peratus sekolah di tahap baik dan cemerlang, manakala 169 sekolah bersamaan 59.93 peratus berada di bawah tahap baik dan cemerlang.

    "Ketika ini, 169 sekolah sedang mendapat bimbingan Pegawai Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+) dan Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+) ke tahap baik dan cemerlang.

    "Sebanyak 282 sekolah iaitu satu sekolah kebangsaan dan satu sekolah menengah bagi setiap 141 daerah sudah melalui pemeriksaan penarafan amalan terbaik KBAT yang dibuat Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (Kepong-DAP) berhubung kesan dan akibat buruk pelaksanaan KBAT.

    Kamalanathan turut mengulas mengenai kesan pelaksanaan KBAT terhadap prestasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

    Beliau berkata, penilaian pelaksanaan KBAT dalam pentaksiran hanya dapat dilaksanakan sebaik sahaja analisis keputusan UPSR 2017 diperoleh.

    Selepas itu, katanya, baru boleh dibuat perbandingan pencapaian calon berdasarkan perbandingan terhadap kualiti ketekalan, ketepatan dan keadilan.

    "Keputusan dan prestasi UPSR 2016 tidak boleh dibandingkan dengan keputusan UPSR tahun terdahulu. Ini kerana, format dan instrumen bagi UPSR tahun lepas adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " KBAT: 113 Sekolah Pada Tahap Baik Dan Cemerlang "