• Kawasan Projek Jelapang Padi Di Sri Aman Terima Pampasan Lebih RM1 juta

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+

    SRI AMAN: Kawasan yang terlibat dengan Projek Paddy Granary Infrastructure Works Bijat-Stumbin menerima pampasan sejumlah lebih RM1juta kepada pemilik kawasan yang terlibat dalam projek jelapang padi tersebut dekat sini semalam.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata projek yang melibatkan penerima dari 23 rumah panjang terlibat termasuk Kampung Stumbin dan Kampung Melayu Tanjung Bijat.

    Menurutnya, penerima-penerima berkenaan kesemuanya terlibat dalam pengambilan balik tanah yang melibatkan Tanah Berhak Milik, Tanah Rizab Bumiputera dan Tanah Hak Adat Bumiputera.

    Beliau juga dipetik sebagai berkata, keseluruhan Projek Paddy Granary Infrastructure Works Bijat-Stumbin sepanjang 52 kilometer (km)  dan melibatkan 1,384 lot tanah.

    Sepanjang 34km proses pengambilan balik tanah telah selesai dijalankan dengan jumlah pampasan sebanyak RM731,680.44 dengan 645 lot tanah sejak 2015.

    Selebihnya, 18km lagi akan dibayar pada pertengahan Disember, di mana ia melibatkan 739 lot dengan jumlah pampasan sebanyak RM466,956.81.

    Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar memberitahu projek tersebut adalah bagi bagi menambah baik sistem pengairan dan saliran untuk projek jelapang padi yang akan dibangunkan di kawasan tersebut.

    “Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana sistem pengairan dan saliran akan lebih teratur untuk kegunaan tapak semaian padi, menjadi jalan penghubung untuk petani ke tanah mereka dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.

    Tapak projek berkenaan telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada Februari 2010 dan Notis Kanun Tanah Negeri di bawah Seksyen 48, Seksyen 6 dan Seksyen 5 (3) & 4 telah diluluskan pada Jun 2015 bagi tujuan pengambilan balik tanah.-Sarawakiana
  • No Comment to " Kawasan Projek Jelapang Padi Di Sri Aman Terima Pampasan Lebih RM1 juta "