• Kaunter khas dibuka bantu rakyat Malaysia di Bali, Surabaya

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    JAKARTA - Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia membuka kaunter khas di lapangan terbang di Bali dan Surabaya bagi membantu proses pemindahan keluar rakyat Malaysia yang terkandas di Pulau Bali.

    Menurut kenyataan kedutaan, petugas kedutaan di kaunter itu akan membantu rakyat Malaysia yang ingin meninggalkan Bali melalui darat dan seterusnya berlepas pulang ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya.

    Rakyat Malaysia boleh mendapatkan perkhidmatan konsular dan hal ehwal imigresen daripada petugas kedutaan di kaunter berkenaan.

    Kedutaan juga bekerjasama dengan Direktorat Jenderal Imigrasi Indonesia, syarikat penerbangan dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kelancaran proses pemindahan keluar itu, demikian menurut kenyataan tersebut.

    Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan, berkata, dianggarkan hampir 1,400 rakyat Malaysia terkandas di Pulau Bali sejak berlakunya letusan Gunung Agung pada 21 November lepas.

    Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai, Bali ditutup sejak Isnin lepas berikutan aktiviti letusan Gunung Agung di Kabupaten Karangasem semakin serius dan mengeluarkan asap tebal yang mengganggu operasi penerbangan.

    "Rakyat Malaysia yang berada di Bali dan terjejas penerbangan mereka disebabkan penutupan Lapangan Terbang 1 Gusti Ngurah Rai sejak 27 November lepas diminta untuk bertenang dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," kata kenyataan itu.

    Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan pihak imigresen di Bandara I Gusti Ngurah Rai Bali hari ini melanjutkan tempoh pas keluar selama seminggu kepada pelancong asing yang visanya telah tamat tempoh. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kaunter khas dibuka bantu rakyat Malaysia di Bali, Surabaya "