• Karim Kecewa Tiada Kes Pembalakan Haram Dilaporkan

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah amat kecewa dengan keputusan ‘tiada kes’ oleh jawatankuasa penyiasatan mengenai pembalakan haram di Bintulu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Karim berkata ia mencerminkan keputusan tidak profesional dan Unit Penguatkuasaan Perhutanan melakukan tangkapan dan penyitaan kayu balak serta jentera berat tanpa siasatan sewajarnya.

    "Saya dapat menghidu sesuatu yang tidak betul di sini dan orang ramai harus tahu. Saya yakin orang ramai kecewa dengan keputusan ini iaitu tiada kes oleh jawatankuasa itu," katanya.

    Menurutnya, kerajaan negeri sedang berusaha menghapuskan pembalakan haram dan apabila keputusan tiada kes dibuat ia mencerminkan bahawa penebangan pokok dan pembalakan yang dilakukan adalah mematuhi undang-undang berkaitan tanah.

    Beliau turut menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada terdapat sebarang unsur pegawai bertindak di luar kuasa mereka.

    "SPRM perlu melihat perkara ini, adakah terdapat unsur-unsur pegawai yang bertindak di luar kuasa mereka. Saya tidak gembira apabila membaca berita tentang perkara ini,” ujarnya.

    Ini berikutan laporan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Sapuan Ahmad yang mendedahkan bahawa sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat kes telah mencapai kesimpulan bahawa tiada kes terhadap syarikat-syarikat yang beroperasi di Bintulu.

    Menurut laporan pada Ogos lalu, satu serbuan bersama sebuah syarikat dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah berjaya merampas kayu balak haram serta jentera berat yang dianggarkan bernilai RM7 juta di Bintulu.

    Sementara itu, menurut Sapuan kayu dan jentera yang dirampas semasa serbuan yang didakwa pembalakan haram telah dilepaskan.

    Ekoran daripada itu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tatau dan kemudiannya lebih 3,500 kayu balak dan 14 unit jentera berat diserahkan kepada JHS oleh SFC untuk tindakan sewajarnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Karim Kecewa Tiada Kes Pembalakan Haram Dilaporkan "