• Karen Libau Sanggup Bergambar Pakai Kuali

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    Gara-gara inginkan gambar cantik, Karen sanggup bergambar pakai kuali untuk menghasilkan foto yang menarik dan kreatif

    Meskipun beliau telah meraih gelaran Artis Terbaru Terbaik bagi Anuerah Muzik Dayak 2016 dan Vokal Terbaik bagi Anugerah Carta Sapa Juara 2016, penyanyi dari Sarawak, Karen Libau mengakui perjalanan beliau menuju sukses dalam bidang seni muzik Malaysia masih sukar dan penuh cabaran.

    “Dalam dunia seorang penghibur, kita perlu membawa imej tertentu untuk menarik hati peminat dan pendengar lagu. Tapi di sebalik imej glamor, tidak ramai yang tahu bahawa ramai artis tempatan sebenarnya bersusah untuk menyara hidup seharian dan kehidupan glamor dan kaya bukan sesuatu yang realiti untuk kebanyakan artis baru seperti kami," katanya.

    Berbalik kepada kejadian bergambar bersama kuali beliau menjelaskan sesi bergambar tersebut terjadi apabila beliau bertemu dengan seorang jurugambar fesyen dari Kuala Lumpur bernama Clash.

    "Sewaktu bercuti di Langkawi baru-baru ini, saya dan Clash saling bertukar idea dan berkongsi kisah hidup masing-masing dalam bidang seni kreatif.

    "Saya meluahkan tentang cabaran hidup yang dihadapi dan memerlukan sumber pendapatan lain selain daripada menyanyi," ujarnya yang popular dengan lagu karam ba ati.

    Jelas Karen, Clash mempunyai idea untuk mempromosi beliau dengan mengabdikan foto yang menarik agar impian dalam industri fesyen akan tercapai.

    "Hanya berbekalkan kamera dan tiada kelengkapan lain, Clash terpaksa mengguna bahan yang ada untuk melengkapkan sesi fotografi.

    "Penghadang cahaya dalam kereta di guna dan tripod dijadikan tiang serta penyepit baju dijadikan pelekat untuk penghadang cahaya," jelasnya lagi.

    Kata Karen, yang lucunya kuali yang ada di dapur dijadikan alat pemantul cahaya.

    "Saya percaya hasil kerja Clash memang akan memuaskan hati walaupun kekurangan alatan.

    "Ternyata hasil kerjanya tidak sia-sia dan setanding dengan hasil kerja dalam studio yang mempunyai peralatan yang lengkap," tambahnya.

    Begitulah pengalaman yang melucukan dan ia adalah satu kreativiti yang ada pada jurugambar yang mungkin orang lain menganggap ia sebagai kerja gila, ujarnya lagi.

    Karen Libau kini giat mempromosikan album terbaru beliau bertajuk ‘Mimpi Ke Serega’ dan peminat boleh mengikuti perkembangan selanjutnya di Facebook milik Karen. - Sarawakiana


    Clash jurufoto

    Subjects:

  • No Comment to " Karen Libau Sanggup Bergambar Pakai Kuali "