• Kapal tentera Korea singgah di Sabah

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+


    SEPANGGAR - Tentera Laut Republik Korea (ROKN) bercadang untuk mengadakan latihan ketenteraan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai sebahagian daripada lawatan ROKN di Kota Kinabalu di sini hari ini.

    Komander Kumpulan Petugas Latihan Pelayaran (CTTG) ROKN, Yang, Yong-mo berkata, perbincangan lanjut bersama pihak keselamatan negara itu akan dilakukan hari ini bagi melaksanakan latihan ketenteraan tersebut.

    "Kita merancang untuk mengadakan latihan ketenteraan bersama TLDM sepanjang tiga hari lawatan pasukan kami di sini.

    "Bagaimanapun, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama kedua-dua belah pihak," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang berlangsung di atas kapal perang Kang Gam Chan di Pelabuhan TLDM Sepanggar di sini hari ini.

    Selain aset Kang Gam Chan, ROKN turut membawa sebuah lagi aset ketenteraan republik itu iaitu Hwacheon.

    Kedua-dua buah aset tersebut membawa 600 kru termasuk 138 pegawai dalam latihan berlayar selama 98 hari bermula dari Jinhae, Korea Selatan sejak 9 November lalu.

    Malaysia merupakan perhentian kelapan sepanjang pelayaran tersebut dan kali ke-23 lawatan ROKN di negara ini.

    Yong-mo berkata, lawatan tersebut merupakan perlambangan hubungan baik antara Malaysia dan Korea Selatan di peringkat antarabangsa.

    Terdahulu, ROKN telah melawat Vietnam, India, Negara Arab Bersatu, Kuwait,Sri Lanka, Indonesia dan Thailand.

    ROKN akan menyambung pelayaran pada 26 November ini ke Amerika Syarikat, Jepun sebelum kembali ke Korea Selatan. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kapal tentera Korea singgah di Sabah "