• Kanak-Kanak Malaysia Bimbang Kes Buli

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Tujuh daripada 10 kanak-kanak di negara ini menyatakan kebimbangan mengenai masalah buli keterlaluan berbanding kanak-kanak di Jepun dan United Kingdom.

    Kajian dijalankan sempena #HariKanakKanakSedunia itu turut menunjukkan, 64 peratus kanak-kanak Malaysia bimbang keganasan terhadap mereka, selain 60 peratus mengenai kegiatan pengganas di seluruh dunia.

    Dalam kajian oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut menunjukkan hanya tiga daripada 10 kanak-kanak di Jepun menunjukkan kebimbangan.

    Sementara itu, di United Kingdom pula nisbah hanya empat daripada 10 kanak-kanak.

    Wakil UNICEF di Malaysia, Marianne Clark-Hattingh, berkata kajian terbabit dijalankan ke atas hampir 11,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sembilan sehingga 18 tahun daripada 14 negara termasuk Malaysia, Brazil, Mesir, India, Turki dan Amerika Syarikat.

    Katanya, kajian itu menunjukkan kanak-kanak negara ini turut menunjukkan keprihatinan terhadap rakan sebaya mengenai isu global antaranya pendidikan membabitkan golongan miskin.

    “Kanak-kanak di negara ini mengambil berat akan isu semasa, selain mengambil berat perkara membabitkan rakan seusia mereka di seluruh dunia.

    “Saya dapati kanak-kanak di negara ini menunjukkan keprihatinan terhadap isu buli yang semakin berleluasa. Mereka mahu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan lebih serius untuk mengatasi masalah diketengahkan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

    Marianne berkata, malangnya menerusi kajian itu, kira-kira 54 peratus menyatakan pendapat mereka seolah tidak diendahkan dan ‘suara’ mereka tidak memberi apa-apa perubahan.

    “Justeru kita sebagai individu dewasa perlu mendengar pendapat insan kecil ini dan berbincang mengenai isu yang dirasakan memberi kesan kepada mereka.

    “Walaupun terfikir mengenai perkara berkenaan, tetapi kita tidak sentiasa tahu apa yang terbaik diinginkan oleh kanak-kanak ini. Apabila kanak-kanak dan orang dewasa bersatu hati, ia boleh membina keyakinan serta masyarakat yang demokrasi serta aman.

    “Jadi sempena Hari Kanak-kanak Sedunia ini, apabila mereka bersuara, kita perlu mendengar,” katanya.

    Sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia hari ini, kira-kira 30 kanak-kanak akan “mengambil alih” media Malaysia supaya suara mereka didengari. – BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Kanak-Kanak Malaysia Bimbang Kes Buli "