• Kanak-Kanak ‘Curi’ Naik Kapal Terbang

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+


    GENEVA: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang lari dari ibu bapanya berjaya menaiki sebuah pesawat di lapangan terbang Geneva walaupun tidak mempunyai tiket.

    Dalam kejadian pada 29 Oktober lalu, kanak-kanak itu lari dari ibu bapanya ketika berada di stesen kereta api Geneva sebelum menaiki kereta api ke lapangan terbang.

    Selepas menyedari kehilangan itu, ibu bapanya menghubungi polis Switzerland yang berjaya menjejaki lokasi anak mereka melalui kamera keselamatan, ujar jurucakap lapangan terbang, Bertrand Staempfli.

    Gadis itu berjaya melepasi pintu keselamatan dengan berselindung di sebalik orang dewasa di sekelilingya.

    Tubuhnya yang kecil juga membolehkan dia melepasi pintu pelepasan tanpa disedari sebelum berjaya mencuri masuk ke dalam pesawat.

    Ketika percubaan pertama, dia mengekori krew ke arah pesawat sebelum berpatah kembali.

    Dia kelihatan berkeliaran di situ sambil berpura-pura mencari ibu bapanya.

    Sewaktu percubaan ketiga, dia berjaya mencuri masuk ke dalam pesawat sebelum kehadirannya disedari oleh pihak berkuasa.

    Dia ditahan dan diserahkan kepada polis.

    Staempfli bagaimanapun tidak mahu mendedahkan penerbangan manakah yang terlibat.

    Namun, dia menyatakan pesawat yang cuba dinaiki gadis itu merupakan penerbangan ke Perancis.

    Lapangan terbang itu dalam satu kenyataan berkata mereka akan mengetatkan peraturan keselamatan dan prosedur penerbangan gara-gara insiden itu.

    "Ini tidak sepatutnya berlaku," ujar Staempfli. -Reuters/mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Kanak-Kanak ‘Curi’ Naik Kapal Terbang "