• Kajian Terperinci Jambatan Marudi Masih Dijalankan Sebelum Tender Dibuka

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    MIRI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil memberitahu kajian terperinci cadangan projek Jambatan Marudi masih dilakukan sebelum tender projek tersebut dibuka Jabatan Kerja Raya (JKR).

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata, cadangan projek jambatan tersebut yang bernilai RM84juta itu yang merentasi Sungai Baram dari Kuala Ridan ke Jalan Miri-Marudi adalah antara tiga projek utama diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam kajian separuh penggal sebelum ini.

    “Projek Tebingan Baram dikendalikan JKR bermula di dermaga kerajaan ke terminal Lembaga Sungai-Sungai Sarawak sepanjang 300 meter meliputi keluasan 7.6 ekar Dataran Esplanade Pekan Marudi.

    “Projek itu dijangka bermula penghujung 2018 kerana banyak kerja terperinci perlu dilakukan,” katanya.

    Mengulas lanjut Penguang berkata, projek menaik taraf Kubu Hose dan Tebingan Baram bernilai RM3.5 juta itu menampilkan reka bentuk kepelbagaian masyarakat di Baram termasuk Iban, Melayu, Cina dan Orang Ulu.

    Mengenai projek pembinaan tembok penghadang, beliau berkata tender akan diberikan pada Disember tahun ini sebelum kerja-kerja bermula pada 2018 dan beliau berasa amat berpuas hati dengan kelancaran semua projek tersebut.

    Tambahnya, pada mesyuarat tersebut beliau turut diberi taklimat oleh JKR, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Tanah dan Survey serta agensi-agensi berkaitan.-Sarawakiana
  • No Comment to " Kajian Terperinci Jambatan Marudi Masih Dijalankan Sebelum Tender Dibuka "