• Jumpa lagi duit, kali ini RM1.45 juta

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+


    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan menemui lagi wang tunai berjumlah RM1.45 juta di sebuah hotel di Kota Kinabalu, semalam, susulan operasi membanteras aktiviti pelacuran warga asing di negeri berkenaan.

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penemuan itu menjadikan keseluruhan wang tunai yang dirampas berjumlah RM14.5 juta termasuk dua rampasan dan serbuan bermula Jumaat lalu.

    Beliau berkata, wang tunai RM1.45 juta itu ditemui susulan penahanan wanita berusia 46 tahun yang juga isteri kepada dalang utama kes berkenaan pada 12 tengah hari semalam.

    "Rampasan wang tunai itu disifatkan yang terbesar oleh jabatan setakat ini," katanya ketika ditemui hari ini.

    Katanya, pihaknya terpaksa meminta bantuan pakar bagi membuka kombinasi nombor peti besi yang memuatkan wang tunai berkenaan sebelum berjaya menemui not RM100 dan RM50 berjumlah RM1.45 juta.

    Bermula Jumaat lalu, Jabatan Imigresen Sabah menerusi Op Gegar menemui wang tunai berjumlah RM11.88 juta di sebuah bilik hotel sebelum pemeriksaan susulan di sebuah apartmen berhampiran menemui lebih RM1.17 juta lagi.

    Seramai 17 gadis dan wanita warga Filipina berusia belasan tahun hingga 40-an yang ditempatkan dalam enam bilik hotel terbabit yang dipercayai dieksploitasi sebagai pelacur turut diselamatkan dalam operasi berkenaan.

    Turut ditahan tiga lelaki membabitkan dua rakyat tempatan dan seorang warga Filipina menjadikan 21 orang ditahan setakat ini bagi membantu siasatan kes.

    Mustafar berkata, aktiviti pelacuran di hotel berkenaan berselindung di sebalik perkhidmatan spa bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa dan ia sukar dikesan walaupun sudah beroperasi sejak 1999.

    "Kita berusaha memutuskan rantaian kesalahan dan aktiviti berkenaan biarpun perniagaan spa bukan di bawah jabatan ini," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jumpa lagi duit, kali ini RM1.45 juta "