• Jual Kereta Secara Sambung Bayar Boleh Kena Tindakan

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Perbuatan pemilik memajak kereta kepada pihak ketiga termasuk menjual secara sambung bayar tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pihak bank adalah melanggar peruntukan Akta Sewa Beli 1967 dan boleh dikenakan tindakan.

    Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis bertarikh 15 Nov yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini berkata perbuatan itu juga menimbulkan masalah yang menyebabkan penama kenderaan berkenaan disenarai hitam oleh pihak bank.

    “Kementerian sedar wujudnya kes-kes sambung bayar kereta sebagai jalan penyelesaian pemilik kereta yang tidak berkemampuan untuk membayar ansuran bulanan kepada bank. Begitu juga tindakan pemilik kereta membuat pajakan kereta kepada syarikat tertentu untuk tujuan mendapatkan pulangan kewangan daripada kereta yang dipajak.

    “Masalah berlaku apabila kereta yang dijual secara sambung bayar atau dipajak ini tidak dibayar sewa bulanan kepada pihak bank,” kata kementerian itu bagi menjawab soalan lisan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya mengenai skim penipuan sambung bayar kenderaan.

    Menurut kementerian, kes-kes sedemikian tidak boleh dikategorikan sebagai kes curi kereta kerana tidak memenuhi elemen kesalahan mencuri mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan tetapi jika terdapat unsur penipuan, siasatan polis akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atau akta lain. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Jual Kereta Secara Sambung Bayar Boleh Kena Tindakan "