• JPJ Perkenal Program Diploma, Kerjasama Dengan UiTM

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    JASIN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan program pengajian peringkat Diploma menerusi kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), bermula September tahun depan.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid, berkata untuk permulaan seramai 30 peserta terdiri dalam kalangan anggota pihak berkuasa itu akan mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Penguatkuasaan Pengangkutan, selama kira-kira setahun setengah.

    "Program berkembar ini hasil usaha sama dengan UiTM dengan lokasinya di Akademi Pengangkutan Jalan, Tiang Dua, Melaka.

    "Selain memfokuskan kepada modul pengajian serba baharu, ia turut menitikberatkan aspek penguatkuasan dan menambah baik sistem kerja.

    "Kita percaya sebaik program ini dimulakan, akademi terbabit mampu menjadi hab pendidikan baharu, khususnya dalam kalangan anggota penguatkuasa di negara ini," katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Pegawai Penguatkuasa JPJ Malaysia Siri 2/ 2017 di Akademi Pengangkutan Jalan, Tiang Dua, di sini, hari ini.

    Pada majlis itu, seramai 40 anggota penguatkuasa Gred KP19 ditauliahkan selepas mengikuti kursus asas selama tiga bulan, termasuk dua bulan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia.

    Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengarah Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan.

    Shaharuddin berkata, pihaknya juga akan menubuhkan panel penasihat bagi memperincikan pelan program itu dalam usaha menaik taraf akademi terbabit sebagai hab pendidikan untuk semua pegawai penguat kuasa, selain dari JPJ.

    "Kita juga akan terus menambah baik modul kursus bagi pegawai penguat kuasa JPJ yang baharu dengan mengambil kira keadaan semasa, termasuk aspek penguatkuasaan dan undang-undang,"katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " JPJ Perkenal Program Diploma, Kerjasama Dengan UiTM "