• Joe Minta Maaf 'Wanita Berbikini'

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+

    Penyanyi Joe Flizzow meminta maaf kepada peminat yang tersinggung dengan babak wanita berbikini dalam video muzik lagu barunya berjudul Drop.

    Menurutnya, dia tidak melihat ia sebagai isu besar memandangkan model berkenaan bukan warganegara Malaysia namun bersedia menerima kecaman.

    “Pertama sekali saya ingin meminta maaf dan sedia menerima segala kritikan mengenai video itu. Saya pun sebenarnya sudah menjangkakan perkara ini.

    “Bagaimanapun, saya cuma mahu jelaskan bahawa model dalam video itu adalah wanita Brazil. Jadi ia bukan masalah besar lagipun mereka di Brazil sendiri tidak sabar melihat hasilnya,” katanya.

    Joe mengatakan konsep video itu ditentukan pihak label yang berniat untuk memasarkannya di peringkat antarabangsa.

    Dalam pada menerima terbuka hati dengan kecaman netizen, menurut Joe dia tidak perlu terkesan dengan perkara itu.

    “Bukan hendak buatkan peminat di sana tawar hati tetapi saya tidak pernah membaca komen di YouTube. Mereka terbuka untuk memberi apa juga pandangan.

    “Bagi saya golongan yang mengecam itu mungkin terlalu banyak masa untuk berbuat demikian. Walhal, banyak lagi perkara penting lain yang patut jadi perhatian,” katanya.

    Video single barunya itu dilancarkan dan dimuat naik di YouTube pada 23 November lalu. Setakat ini, jumlah tontonannya sudah mencecah lebih 246,000 dan mendapat lebih 1,000 komen.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Joe Minta Maaf 'Wanita Berbikini' "