• JKN Sahkan Kes Positif Malaria Di Matang

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengesahkan satu kes tular di media sosial berkaitan dengan positif malaria plasmodium vivax melibatkan seorang penduduk tempatan yang menetap di Taman Malihah, Matang sekembalinya dari bekerja di Kepulauan Solomon.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim dalam satu kenyataan semalam berkata, hasil kajian entomologi dijalankan di kawasan terbabit dan mendapati terdapat populasi nyamuk Anopheles letifer, yang boleh menyebabkan penyebaran penyakit malaria jika tidak dikawal dengan segera.

    Jelas beliau, aktiviti kawalan nyamuk telah dilakukan di kawasan tersebut seperti ‘indoor residual spraying’ serta pengedaran kelambu berubat kepada para penduduk.

    Sehubungan itu, langkah susulan seterusnya adalah saringan darah di kalangan penduduk dalam lingkungan 200 meter dari tempat kediaman kes (pesakit) untuk mengenal pasti sama ada terdapat penularan kes malaria di kalangan penduduk setempat.

    Beliau berkata saringan mengesan kehadiran parasit malaria di dalam darah secara meluas (Mass Blood Survei) telah bermula pada 25 November 2017 dan setakat ini seramai 192 penduduk telah disaring.

    “Sehingga kini aktiviti berkenaan telah dilakukan meliputi 168 pintu rumah.

    “JKN ingin menasihati semua penduduk di kawasan tersebut untuk menggunakan kelambu berubat dan ‘repellen’ nyamuk sebagai langkah pencegahan dan semua penduduk setempat memberi kerjasama sepenuhnya kepada anggota kesihatan yang akan menjalankan saringan darah nanti.

    Oleh yang demikian, Dr Jamilah turut menyeru orang ramai yang mempunyai kemusykilan menghubungi Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di talian 082-344590.-UtusanBorneo
  • No Comment to " JKN Sahkan Kes Positif Malaria Di Matang "