• Jepun Mohon Siasatan Serangan Gas Dilanjutkan

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    NEW YORK: Jepun meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menilai dan memperbaharui semula siasatan mengenai serangan kimia di Syria selama 30 hari, menurut deraf resolusi semalam.

    Permintaan dibuat selepas Russia menggunakan kuasa veto ke atas resolusi dirangka Amerika Syarikat yang akan melanjutkan Mekanisme Siasatan Bersama (JIM) selama setahun dan langkah kedua yang dicadangkan Moscow gagal memperoleh undi mencukupi.

    Langkah yang dicadangkan Jepun membolehkan lebih banyak masa diperuntukkan bagi membenarkan panel meneruskan usaha mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab di atas serangan gas toksik di Syria.

    Deraf itu akan memperbaharui mandat JIM selam 30 hari dan memberi tugasan kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Antonio Guterres, untuk menyerahkan kepada majlis berkenaan 'cadangan bagi struktur dan metodologi' dalam masa 20 hari kepada panel.

    Jepun meminta undian diadakan semalam, tetapi diplomat berkata berkemungkinan majlis mempertimbangkan langkah ini pagi ini.

    Terdahulu, Russia menggunakan kuasa veto kali ke-10 mengenai Syria di agensi tertinggi PBB, menghalang lanjutan setahun ke atas JIM seperti dicadangkan dalam resolusi AS yang memperoleh 11 undian.

    Sementara resolusi Russia kurang sembilan undi yang diperlukan untuk digunakan, memperoleh cuma empat undian.

    Russia mengkritik JIM selepas laporan terbarunya menyalahkan tentera udara Syria di atas serangan gas sarin di Kampung Khan Sheikhum yang dikuasai pemberontak hingga menyebabkan banyak kematian. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Jepun Mohon Siasatan Serangan Gas Dilanjutkan "