• Jawatankuasa Khas Kaji Pindaan Akta 258

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Sebuah jawatankuasa khas sudah ditubuhkan bagi mengkaji pindaan terhadap Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jawatankuasa di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri itu perlu melaksana inisiatif menambah baik rangka kerja pengawalseliaan sedia ada melalui kajian pindaan akta itu.

    "Bagi menangani isu pengurusan organisasi bukan berasaskan keuntungan (NPO) atau yayasan yang berdepan cabaran dan terdedah ruang untuk menyalahgunakan tabung amanah bagi kepentingan tertentu, kerajaan bercadang meminda Akta 258.

    "Selaras dengan perkara ini, saya sudah memberi mandat kepada BHEUU Jabatan Perdana Menteri untuk mengambil langkah proaktif.

    "Kajian yang dilakukan antara lain akan melihat kemungkinan Akta 258 digantikan dengan akta baharu yang merangkumi tambahan cadangan pindaan baharu berkaitan aspek pemantauan, tadbir urus serta dasar yang lebih jelas berkaitan urusan Pemerbadanan Pemegang Amanah NPO atau yayasan berbentuk kebajikan di Malaysia," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar NPO Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

    Tambah Azalina, proses kerja juga akan dikaji semula dan diperincikan melalui peraturan yang akan diwujudkan untuk menyokong akta baharu itu kelak.

    "Hasil laporan penuh jawatankuasa khas ini akan saya bentangkan ke Kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dibawa ke sesi Parlimen akan datang," katanya.

    Tambahnya, tiada sebarang pindaan substantif dilakukan lebih 36 tahun sejak Akta 258 itu dikuatkuasakan pada 1952. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jawatankuasa Khas Kaji Pindaan Akta 258 "