• Jangan Panik ! Ini Daging Lembu Bukan Babi

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    Bukan daging babi sebaliknya daging lembu import dari India. Itu hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur susulan viral mendakwa wujud premis menjual daging babi di pasar Selayang.

    Ketua pegawai penguatkuasanya, Wan Mohd Yusof Wan Taib berkata, pemeriksaan di sebuah pasar di Selayang itu dilakukan empat pegawainya yang turut disertai pengadu pada pagi sehingga tengah hari semalam.

    Katanya, keterangan peniaga dan pengadu sudah dirakamkan dan sampel daging di premis berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan.

    "Sampel daging yang diambil di gerai peniaga itu bukan daging babi tetapi daging lembu. Menurut keterangan peniaga, daging yang dijual di premis itu adalah daging lembu beku diimport dari India.

    "Peniaga turut mengemukakan resit pembelian daging yang dibeli daripada pemborong," katanya.

    Kisah ini tular apabila pengadu, Mazliana Abdul Manap, 35, memuat naik di Facebook mendakwa was-was melihat warna dan tekstur daging yang dibeli oleh suaminya di sebuah pasar di Selayang minggu lalu yang dikhuatiri daging babi.

    Mengulas lanjut, Wan Mohd Yusof memberitahu sampel daging yang didakwa daging babi itu tidak dapat diambil kerana pengadu sudah membuangnya.

    "Kita ada minta sampel daging yang didakwa pengadu dikhuatirinya daging babi tetapi dia mendakwa membuangnya sebab was-was kalau simpan di peti sejuk dan busuk jika diletakkan di tempat lain.

    "Janganlah menguar-uarkannya sebagai daging babi terutama di media sosial sebelum mendapat kesahihannya terlebih dahulu.

    “Jika tidak, ia nanti akan menimbulkan kekecohan dan hanya menjadi fitnah sekiranya dakwaan itu tidak benar," kata Wan Mohd Yusof.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Panik ! Ini Daging Lembu Bukan Babi "