• Jangan Guna Kekebalan Parlimen Lempar Tuduhan

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tidak perlu menggunakan kekebalan Parlimen untuk menuduh pihak lain berkaitan kegagalan projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika beliau mengetuai kementerian itu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata semua orang tahu projek terbabit yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah daripada kementerian berkenaan.

    "Semua orang juga tahu bahawa projek itu diketahui oleh Mohd Shafie, jadi tak payahlah menggunakan kekebalan Parlimen untuk menuduh Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, dan pihak lain.

    "Walaupun kontraktor itu ada kaitan persaudaraan tetapi bagi saya ia adalah kroni orang lain, bukan Musa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mapan 2017 (ICSTCSD 2017), di sini, hari ini.

    Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) berkata demikian sebagai mengulas tindakan Mohd Shafie menuduh Musa terbabit dalam projek bermasalah KKLW di Sabah ketika sesi perbahasan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, semalam.

    Ia berkaitan projek yang disiasat SPRM dalam kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion untuk pembangunan luar bandar di Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

    Abdul Rahman berkata, Musa pernah beberapa kali memberikan komen ketika perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan kepemimpinan Pusat mengenai KKLW yang tidak memaklumkan perancangannya di Sabah ketika Mohd Shafie masih menjadi menteri.

    "Ia diketahui umum bukan hanya selepas disiasat SPRM. Kalau KKLW dapat menjalankan kerja dengan baik tiada lagi masalah air dan elektrik di Sabah. Jadi bagi saya jangan guna Parlimen untuk tuduh orang lain kerana kamu ada kekebalan," katanya.

    Semalam, Musa dalam kenyataannya kepada media, turut mengingatkan Mohd Shafie supaya menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat dakwaan rasuah membabitkan KKLW dan tenang menangani situasi itu, selain tidak melemparkan pelbagai tuduhan dan cuba membabitkan pihak lain dalam kes berkenaan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Guna Kekebalan Parlimen Lempar Tuduhan "