• Jangan Alih Perhatian - Musa

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diingatkan supaya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan rasuah membabitkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

    Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata Shafie seharusnya lebih tenang menangani situasi itu berbanding melemparkan pelbagai tuduhan dan cuba membabitkan pihak lain dalam kes berkenaan.

    "Tidak perlu panik. Tiada yang perlu ditakutkan jika kamu tidak salah seperti kata pepatah Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah," katanya kepada media, di sini, hari ini.

    Musa berkata, sebelum ini beliau tidak bercakap apa-apa berhubung kes itu walaupun diserang secara terbuka dalam ceramah politik Mohd Shafie, selain di media sosial.

    "Bagaimanapun, hari ini saya terpaksa berkata sesuatu kerana dia (Mohd Shafie) cuba membabitkan saya di Parlimen dengan mengatakan seseorang yang berkaitan dengan saya mendapat projek.

    "Saya sendiri tidak sedar projek yang dipersoalkan. Saya ada ahli keluarga yang besar. Saya tidak boleh halang mereka yang rapat dengan Mohd Shafie daripada mendapat projek," katanya.

    Beliau berkata, Mohd Shafie seharusnya bersikap lebih 'gentlemen' dalam tindakannya dan tidak menggunakan kekebalan Parlimen dan taktik putar belit bagi mengalihkan perhatian terhadapnya.

    Musa berkata, SPRM bukan saja menahan individu daripada parti pembangkang, malah mengambil tindakan sama terhadap individu dari parti kerajaan dalam siasatan kes rasuah.

    "Tidak timbul isu kes ini ada kaitan politik kerana SPRM turut menahan individu dari parti memerintah dalam kebanyakan kes lain," katanya.

    Katanya, SPRM harus diberi laluan untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau memihak, selain tanpa drama yang digembar-gemburkan.

    "Segelintir orang mungkin ada masa untuk merungut dan menggembar-gemburkan di merata tempat tetapi saya tidak, kerana saya ada negeri yang perlu dijaga," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Alih Perhatian - Musa "