• Janda Iklan Cari Suami Di Thailand

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+


    BANGKOK – Kerana kesunyian selepas dua kali menjanda, seorang wanita berusia 65 tahun menaikkan iklan untuk mencari suami di hadapan rumahnya.

    Sompong Chomphuprapet yang tinggal di Ubon Ratchathani meletakkan satu kain rentang di pintu pagar dan meminta mana-mana lelaki yang berminat masuk ke dalam rumahnya.

    “Seorang wanita berusia 65 tahun mencari teman lelaki berusia 60 hingga 70 tahun. Saya seorang yang baik, jujur dan sihat. Sekiranya berminat hubungi di sini,” kata iklan itu.

    Sompong memberitahu, dia pernah berkahwin sebanyak dua kali tetapi kedua-dua perkahwinannya berakhir dengan perceraian.

    Kata Sompong, dia berkahwin dengan seorang lelaki Thailand tetapi bercerai kerana suaminya itu seorang kaki botol.

    Dia kemudian bekerja di Jerman dan berkahwin dengan lelaki tempatan, namun perkahwinannya itu hanya mampu bertahan selama 13 tahun.

    Sompong berkata, selepas kembali semula ke Thailand dia mula berasa kesunyian dan kini dia mahu mencari lelaki jujur yang menyayanginya dan menjaganya hingga akhir hayat.

    “Saya mahu seorang lelaki yang baik kerana hidup seorang diri adalah sunyi dan menyedihkan. Saya mahu seorang pesara yang berpencen,” jelasnya.

    Iklan itu dipasang kira-kira seminggu yang lalu dan dua lelaki sudah menawarkan diri tetapi kedua-duanya ditolak Sompong.

    Seorang calon itu ditolak Sompong kerana dia tidak mempunyai skim pencen manakala seorang lagi lelaki berusia 59 tahun bekerja sebagai guru.

    “Apabila lelaki itu bersara nanti dia bakal menerima pencen 20,000 baht (RM2,549) sebulan dan selepas ditolak semua hutangnya yang tinggal hanya 8,000 baht (RM1,019).

    “Saya memberitahunya wang sebanyak itu tidak mampu menampung kehidupan kami berdua,” katanya. – Agensi/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Janda Iklan Cari Suami Di Thailand "