• Jaga Keluarga Kamu, Itu Jihad Paling Besar - Hakim

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah mengingatkan dua rakan yang didakwa cuba ke Syria supaya lebih baik mencari pahala dengan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak daripada pergi berjihad tanpa mengetahui ideologi sebenar kumpulan pengganas Daesh.

    Azman ketika memberi keputusan di sini, hari ini berkata ideologi yang dibawa oleh kumpulan pengganas itu bukan saja mempengaruhi masyarakat tetapi boleh menjadikan negara yang aman porak peranda.

    "Jaga keluarga kamu, itu jihad paling besar. Beri duit kepada ibu bapa pun boleh masuk syurga.

    "Tak perlu berjihad sampai ke Syria atau mana-mana negara bergolak untuk masuk syurga," katanya.

    Tertuduh pertama, juruteknik, Mohd Ridwan Mohd Muda, 30, sebak dan hanya mengesat air matanya sepanjang penghakiman dibacakan Azman dan mitigasi yang dibuat oleh peguamnya, Mohd Hezri Shaharil.

    Terdahulu, Azman menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun terhadap Mohd Ridwan dan Zulfadhli Jafri, 25, yang bekerja di sebuah stesen minyak selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan didakwa cuba pergi Syria dengan menaiki kereta api dari Padang Besar ke Bangkok, Thailand.

    Mereka seterusnya didakwa menaiki penerbangan Gulf Air (GF153 dan GF045) menuju ke Turki dengan niat pergi ke Syria dan dalam percubaan itu, mereka ditahan selepas tiba di Turki bagi maksud melakukan suatu perbuatan pengganas di Syria.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Imigresen Padang Besar, pada jam 2.46 petang, 23 Oktober 2016.

    Hukuman penjara bagi kedua-dua tertuduh itu berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap, pada 30 Oktober 2016.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih daripada setengah dari tempoh maksimum 30 tahun dan denda.

    Terdahulu, Hezri dalam rayuan memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan tertuduh masih muda dan layak diberi peluang kedua.

    Zulfadhli yang tidak diwakili peguam memohon supaya diberikan hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

    Berdasarkan fakta kes, kedua-dua lelaki itu ditahan polis di KLIA, Sepang selepas dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki.

    Hasil siasatan mendapati mereka menaiki kereta api dari stesen Padang Besar ke Bangkok, dan seterusnya menaiki penerbangan Gulf Air ke Turki dan tiba di negara itu pada 29 Oktober 2016, jam 1.05 pagi, namun ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Atartuk, Turki dan dihantar pulang ke Malaysia pada hari yang sama.

    Siasatan lanjut mendapati mereka berniat untuk berjihad dan mati syahid di Syria selain didapati menerima sejumlah RM5,000 daripada seseorang atas arahan anggota pengganas militan yang dikenali sebagai Wanndy.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jaga Keluarga Kamu, Itu Jihad Paling Besar - Hakim "