• Jadikan Mengaji Sebagai Budaya Masyarakat Islam Pantai Damai

    Published: Sunday, 12 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi berharap budaya mengaji menjadi amalan masyarakat Islam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

    Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai mencadangkan supaya program belajar mengaji dan penghayatan Al-Quran dapat dilaksanakan di kawasannya.

    Menurutnya, usaha seperti itu penting untuk melahirkan lebih ramai masyarakat mahir mengaji dan meningkatkan tahap pemahaman agama.

    "Jika dilaksanakan secara tersusun dan efisien, budaya mengimarahkan Al-Quran akan menjadi amalan masyarakat termasuk di kalangan belia," katanya ketika menangguhkan Kursus Tahsian Qiraat Al-Quran dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Guru Al-Quran Bahagian Kuching (PGABK) di sini, hari ini.


    Pada masa sama Dr Abdul Rahman berharap PGABK dapat merangkaa strategi agar hasratnya membangunankan program mengajar mengaji di kawasan DUN Pantai Damai direalisasikan.

    "Selepas ini saya akan berjumpa dengan pihak sekolah di Pantai Damai bagi membolehkan kursus seperti ini dapat dianjurkan di peringkat sekolah," ujarnya.

    Penganjuran program seperti itu di peringkat sekolah menurutnya diyakini dapat memupuk minat generasi muda mendalami Al-Quran sekaligus membentuk sahsiah diri yang positif di kalangan mereka.

    "Saya juga akan pastikan setiap pelajar dibekalkan dengan senaskah Al-Quran dan pastikan pelajar khatam Al-Quran menjelang tahun akhir persekolahan," jelasnya.

    Seramai 62 peserta yang menyertai kursus tersebut menerima sijil masing-masing yang disampaikan Dr Abdul Rahman.-Sarawakiana
  • No Comment to " Jadikan Mengaji Sebagai Budaya Masyarakat Islam Pantai Damai "