• Isu Tanah NCR Di Lundu Selesai Selepas Dapat Persetujuan Kerajaan Negeri

    Published: Monday, 6 November 2017
    A- A+

    Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan isu pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Kpg Sg. Limo dan Kpg Sampadi, Lundu diselesaikan selepas mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

    Memetik laporan The Borneo Post, Wan Junaidi berkata kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberi kembali tanah tersebut kepada penduduk kampung.

    "Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri yang bertanggungjawab menyelesaikan isu tanah NCR. Mereka bersetuju untuk memberikan tanah itu kepada penduduk kampung dan ini telah menyelesaikan masalah NCR di kawasan saya, "katanya

    Walaubagaimanapun, Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menambah beliau masih menunggu pemakluman tentang proses berkenaan untuk menyelesaikan masalah tersebut secara sah.

    "Semua demonstrasi sepatutnya berakhir kerana kerajaan negeri bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu. Saya percaya bahawa tanah mereka pasti akan dikembalikan," ujarnya.

    Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan mewartakan sebahagian tanah berkenaan sebagai rizab kaum. - Sarawakiana
  • No Comment to " Isu Tanah NCR Di Lundu Selesai Selepas Dapat Persetujuan Kerajaan Negeri "