• Isu Gaun Nasi Lemak, Sammy James Positif

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James, 23 atau Sammy mengakui dirinya tidak menghadapi sebarang masalah ketika menggayakan dan memperagakan kostum kebangsaan yang diinspirasikan daripada juadah nasi lemak.

    Sammy memberitahu, dia bangga mengenakan persalinan rekaan Brian Khoo tersebut sekali gus dapat mempromosikan makanan tradisi kegemaran rakyat Malaysia itu pada peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 27 November ini .

    “Saya sedia maklum mengenai komen-komen negatif netizen terhadap kostum berkenaan yang tular di laman sosial baru-baru ini. Bagaimanapun saya tidak pedulikan kata-kata tersebut kerana khuatir boleh melemahkan semangat saya untuk mewakili negara kelak.

    “Memang ramai kenalan saya yang menyuarakan pendapat mereka namun saya cuma mengambil yang positif sahaja. Tanggungjawab saya adalah untuk mengharumkan nama Malaysia sebaik mungkin di peringkat dunia,” katanya.

    Sammy berkata demikian ketika ditemui pada malam majlis pelancaran super telefilem Wanita Terindah yang merupakan percubaan awalnya dalam bidang lakonan tanah air.

    Wanita Terindah adalah karya arahan Joon Goh diinspirasikan daripada novel Wanita Terakhir mula disiarkan di Astro First Exclusive bermula semalam menampilkan pasangan sensasi Fattah Amin dan Nur Fazura selaku hero serta heroin.

    Tambahnya, dia sedikit pun tidak berasa terganggu dengan kritikan dan kutukan yang dilemparkan netizen kerana fokusnya adalah untuk melakukan yang terbaik.

    “Lakaran awal memang sudah dibentangkan terlebih dahulu kepada Miss Universe Malaysia Organisation (MUMO) yang diketuai Elaine Daly dan mempersetujui rekaan tersebut.

    “Secara jujurnya, mungkin ada penambahbaikan yang boleh dilakukan termasuk meletakkan sudu dan garpu,” selorohnya. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Gaun Nasi Lemak, Sammy James Positif "