• Isteri Sanggup Risik, Minang ‘Madu’ Buat Suami

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+


    MADU sememangnya manis. Namun, madu dalam istilah kehidupan rumah tangga memberi kesan pahit dalam diri seorang wanita yang bergelar isteri.

    Bahkan ia dianggap lebih pahit daripada hempedu. Walaupun mungkin ada yang reda, tetapi tidak semua mampu menerima hakikat apabila diri dimadu.

    Hanya wanita yang benar teguh hatinya sahaja mampu merelakan suami beristerikan lebih daripada satu.

    Inilah perkara yang dilalui oleh Mek Nik Hassan apabila sanggup berkorban jiwa untuk memastikan hasrat suaminya tercapai.

    Wanita berusia 58 tahun ini bukan hanya merelakan dirinya dimadu malah dia sanggup merisik, meminang dan menyaksikan sendiri akad nikah pasangan hidupnya itu bersama isteri baru.

    Majlis berlangsung di kediaman pengantin perempuan pada petang Jumaat lalu di Kampung Kepah, Terengganu itu menyaksikan Mek Nik mengenakan busana bewarna putih sekali gus kelihatan sedondon dengan mempelai.

    Selain itu, Mek Nik turut dilihat menyarungkan barang kemas berupa seutas rantai di leher madunya, Wan Nora Wan Mustafa selain tidak ketinggalan merakamkan gambar bersama-sama sebagai kenangan.

    Bukan itu sahaja, wanita berusia setengah abad itu juga dilihat begitu setia berada di samping madunya sehingga majlis bahagia tersebut selesai.

    Mek Nik atau lebih mesra dengan sapaan Kak Nab berkata dia mengakui tidak terkejut dengan hasrat suaminya untuk berpoligami.

    Sebaliknya, dia percaya lelaki itu mampu bersikap adil sementelahan poligami pula dibolehkan dalam ajaran Islam.

    “Saya tidak terkejut apabila suami maklumkan hasrat untuk kahwin lagi sebaliknya percaya dia benar-benar maksudkan begitu kerana suami jenis suka berterus-terang, jika itu dikatakan itu jua lah dilakukannya.

    “Lagipun, saya rasa suami berkemampuan dan berpoligami bukannya berdosa dalam Islam. Saya lebih rela dengar dari mulutnya sendiri daripada tahu kemudian hari daripada cerita orang.

    “Sekurang-kurangnya dia jujur kepada saya sebagai isterinya kerana tidak sorokkan apa-apa dari saya atau berkahwin lain secara senyap-senyap kerana itu akan buatkan saya terluka.

    “Biarpun terpaksa berkongsi kasih suami, namun demi penuhi hajatnya saya sanggup,” ujarnya.

    Jelas Mek Nik lagi, dia mengakui telah lama mengenali Wan Nora kerana mereka tinggal sekampung. Secara tidak langsung perkara itu bantu memudahkan lagi urusan perkahwinan ini.

    “Alhamdulillah, sembilan anak saya berusia antara 17 hingga 38 tahun juga tidak menghalang perkahwinan baharu ayah mereka, cuma saya harapkan kami semua sentiasa bahagia.

    “Saya yakin, madu saya ini dapat berikan kebahagiaan jua kepada suami, lagipun kesihatan saya kurang mengizinkan kerana menghidap kencing manis,” katanya dipetik Sinar Harian.

    Sementara itu, Wan Nora mengakui selain sikap suaminya yang baik hati, kesungguhan Kak Nab bagi melihat perkahwinan itu menjadi kenyataan telah membuat hatinya terbuka sekali gus menerima lamaran tersebut.

    “Kak Nab sendiri datang jumpa saya tanya sudi kahwin dengan suaminya ataupun tidak dan beritahu dia tidak marah.

    “Mulanya, saya tiada jawapan tetapi melihat Kak Nab begitu bersungguh saya akhirnya bersetuju dan keesokan harinya dia terus ajak saya pergi beli cincin sebagai persiapan.

    “Saya sendiri tidak pernah terfikir akan berkahwin dengan ayah kepada rakan sekolah sendiri, namun siapa menyangka kerana jodoh itu rahsia Allah.

    “Bermadu juga ibarat mimpi ngeri bagi wanita, tapi Alhamdulillah saya terpilih rasai kemanisannya.

    “Suami yang mengusahakan tanaman sawit antara pelanggan tetap kedai makan yang saya usahanya sejak lebih kurang lima tahun lalu di kampung ini.

    “Dari situlah sifat pemurah nya dapat saya lihat kerana dia sering belanja orang lain sekali gus membuatkan saya tertarik dengan perwatakannya,” ujarnya.

    Katanya lagi, dia berterima kasih kepada Kak Nab kerana sudi menerima dirinya dengan hati terbuka dan berharap agar perkahwinan kali ini kekal selepas mengalami kegagalan rumah tangga kali kedua Mei lalu.

    Menurutnya lagi, biarpun terdapat segelintir pihak yang bercakap mengenai perkahwinan ini namun dia sama sekali tidak mengambil pusing mengenainya.

    Hal ini kerana Wan Nora yakin apa yang dilakukan adalah sesuatu yang baik di sisi Islam dan tentunya jodoh serta semua itu telah ditakdirkan oleh Allah SWT. – MYNEWSHUB.CC/AM

    Subjects:

  • No Comment to " Isteri Sanggup Risik, Minang ‘Madu’ Buat Suami "